IDEA DAN RASIONAL



IDEA DAN RASIONAL BAGI BAHASA SLANGA



                Bahasa slanga amat meluas digunakan dalam kalangan para remaja masa kini. Penggunaan bahasa slanga telah menjadi ‘biasa’ dan tampa segan-silu dipertuturkan baik dari kaki lima kedai usang sehinggalah ke galeri indah, bangunan parlimen.

                 ‘kucin itu comei ler’… Inilah contoh praktik pengucapan  ‘slanga’. Manusia adalah mahluk  sosial yang tidak dapat hidup sendirian melainkan selalu berinteraksi menerusi bahasa yang mereka tahu, faham dan serasi sekaligus membentuk identiti kelompok yang memungkinkan terbinanya berbagai bahasa, berbilang budaya dengan beraneka cirinya yang unik dan serba tersendiri. August Comte (1842),  menjelaskan  sosiolinguistik adalah bidang ilmu yang mengkaji kesan sebarang aspek masyarakat ke atas bahasa. ‘Sosiologi bahasa’ pula mengkaji kesan bahasa terhadap masyarakatnya. Kosa kata slanga merupakan kosa kata yang tidak baku digunakan untuk membina atau memperkuatkan identiti sosial dan ikatan sosial khususnya dalam sebuah kelompok.  Grice (1975), menghuraikan slanga memiliki kecenderungan digunapakai secara paling asas dan umum  sebagai memenuhi fungsi sosialnya. Perkara seumpama ini  terjadi dalam semua bahasa di dunia, tambahan pula kosa kata slanga ditakrif seusia atau lebih awal dengan sesebuah bahasa bagi bangsa itu sendiri (Nik Safiah Karim, 1996 : 43-49).

Bahasa slanga memiliki ciri-ciri unik dalam bentuk ungkapan dan pengujaran sehingga akhirnya bahasa slanga ini menjadi sangat sinonim, akrab dan berakar umbi  untuk membentuk identiti kumpulan (Asmah, 1993:85). Selanjutnya, Ajid Che Kob (1998), berpendapat ‘key word’ atau kata kunci dalam pengujaran bahasa slanga yang merupakan ciri-ciri uniknya bertujuan menguat, memberi lebih makna sambil mengetengahkan identiti kelompok sosialnya.

Dari perspektif ahli bahasa dapat disimpulkan praktikal bahasa memberi  justifikasi tepat bahasa dan tingkah laku saling berperanan dan mempengaruhi penutur bahasa terhadap dunianya yang tergambar menerusi ungkapan dan penuturan bahasa slanga. Cara, gaya dan emosi yang dibawa oleh bahasa slanga itu sendiri  sudah memberi  kefahaman  meluas mengenai peranan bahasa itu dalam kehidupan manusia baik kognitif, afektif dan amalan kehidupan sehariannya.

 Akhirnya,  ternyata bahasa slanga  berupaya memberi  impak, aura dan pengenalan diri kepada individu dan kumpulan  menerusi pelbagai media dan latar kelompok sosial manusia. Menurut Fairclough (dalam Asmah, 1987), bahasa slanga juga dapat merumus  satu inspirasi malahan  manifestasi interaksi sosial  dan cerminan kehidupan  bagi sesuatu kumpulan untuk membina identiti dirinya yang serba  tersendiri dalam  masyarakat. Hakikat ini menjadikan mereka mudah dirujuk, dikenali dan dikaitkan dengan ciri-ciri slanga itu sendiri. Bila terungkap sahaja kosa kata atau diksi bahasa slanga yang berkaitan dengannya maka sudah tergambar rupa, gaya dan cara hidup sesebuah kumpulan.

(sumber : http://analisis-wacana.livejournal.com/55914.html)