Bagi mengelakkan masalah pencemaran bahasa ini,
tanggungjawab sesebuah kementerian, jabatan atau agensi adalah sangat penting.
Antara langkah yang boleh diambil oleh kementerian, jabatan atau agensi
tersebut adalah seperti yang berikut:
(a) memastikan semua pegawai dan kakitangan kerajaan
menggunakan Bahasa Melayu yang baik dan betul dalarn semua urusan rasmi, sama
ada secara tulisan mahupun lisan, dengan rakan sekerja dan apabila berurusan
dengan pelanggan (kecuali urusan yang melibatkan negara asing dan untuk tujuan
melatih pegawai dan kakitangan supaya fasih berkomunikasi dalam bahasa asing).
(b) mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul
dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam hal-hal seperti
mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, iklan,
dokumen rasmi, kawasan perumahan, premis pemiagaan dan lain-lain. Bahasa-bahasa
lain boleh digunakan berdasarkan kepada keperluan sahaja;
(c) menjalankan latihan dan menganjurkan aktiviti secara
berterusan yang bertujuan meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Melayu yang betul
dalam kalangan pegawai dan kakitangan.
Dalam masa yang sama, DBP telah berusaha dalam pengembangan
dan peningkatan kualiti bahasa di tempat awam melalui Pantau Tegur Bahasa.
Pantau Tegur Bahasa bermaksud mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang
dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau papan tanda, sama
ada di luar bangunan ataupun di dalam bangunan, yang jika tidak dicegah dengan
segera akan mencemarkan maruah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara
ciri pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz
atau warna, penggunaan bahasa yang tidak menepati tataBahasa Melayu, termasuk
sistem ejaan, pemilihan kata, pembentukan kata, pengolahan ayat, dan penggunaan
laras, ataupun pencampuradukan Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bagi
memastikan tindakan segera diambil setelah proses pengenalpastian kesilapan
dibuat, pemantau disediakan dengan sehelai borang untuk dipenuhi dan
dipulangkan kepada DBP. Pegawai DBP yang bertanggungjawab akan mengambil
tindakan segera menghubungi syarikat atau agensi yang berkenaan bagi membuat
pembetulan.
(http://purnama.dbp.gov.my/webpurnama/index.php?option=com_content&task=view&id=285&Itemid=380)
Selain itu, satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai
dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa yang betul untuk mengelakkan pencemaran
bahasa kebangsaan terhadap paparan di tempat umum yang dibuat oleh pihak
berkenaan. Kaedah pemantauan yang diguna pakai oleh pihak DBP adalah dengan
menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa
(guru atau penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk
melaporkan sebarang paparan awam yang mencemar bahasa. Tindakan ini akan
mengatasi masalah pencemaran Bahasa Melayu ini daripada berleluasa.
Dari segi pendidikan pula, para guru harus menitikberatkan
cara penyampaian Bahasa Melayu di dalam bilik darjah terutamanya aspek
tatabahasa dalam kalangan pelajar sejak di peringkat sekolah rendah lagi supaya
pelajar-pelajar dapat mengetahui kelainan erti perkataan yang imbuhannya
berbeza-beza dan menggunakannya dengan betul, tepat dan gramatis dalam lisan
dan penulisan, menggunakan frasa yang betul serta menggunakan ayat dengan
betul, tepat dan gramatis. Hal ini dapat disokong dengan kenyataan Yahya Othman
(2005:11) bahawa rumus tatabahasa yang wujud perlu dipelajari secara
beransur-ansur sehingga membentuk operasi kesatuan rumus yang utuh dan berupaya
melakukan operasi membina ayat. Abd. Aziz Abd. Talib (2000:236) pula menyatakan
bahawa pengajaran tatabahasa membolehkan pelajar-pelajar berkomunikasi dalam
Bahasa Melayu dengan baik. Pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi ini membantu
pelajar menghasilkan ayat yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan. Hal
ini akan mengelakkan penggunaan Bahasa Melayu yang tercemar dari segi
tatabahasa.
Tambahan lagi, guru juga perlu menjadi contoh yang baik
dalam hal penggunaan bahasa yang teratur dan anggapan bahawa Bahasa Melayu itu
begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius harus dikikis dalam
kalangan pelajar. Penguasaan Bahasa Melayu yang baik dan teratur dalam kalangan
mahasiswa di institusi pengajian tinggi tidak kira awam atau swasta juga perlu
diberi penekanan. Hal ini kerana merekalah yang akan menentukan sama ada
menggunakan Bahasa Melayu yang tercemar ataupun tidak dalam urusan pentadbiran.
Menurut Awang Sariyan pula, bagi mengelakkan Bahasa Melayu
tercemar akibat penggunaan bahasa SMS, guru mesti memberi penekanan kepada
pelajar supaya tahu membezakan antara bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi
Menurutnya, penggunaan singkatan perkataan berlaku terhadap semua bahasa di
dunia, tetapi tidak menjadi masalah jika mereka dapat membezakan pengunaannya
untuk tujuan rasmi atau tidak. Menurutnya lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
tidak memberi perhatian terhadap bahasa yang diguna pakai dalam SMS, tetapi
jika ragam bahasa itu digunakan dalam urusan rasmi yang mempengaruhi
masyarakat, DBP akan memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa tersebut bagi
mengelakkannya merosakkan bahasa. Beliau juga berkata bahawa pihak berkuasa
tempatan dan jabatan kerajaan perlu bekerjasama dalam hal ini kerana mereka
bertanggungjawab mengawal selia papan tanda dan memastikan pihak yang
mengeluarkan iklan menggunakan bahasa betul. Tambahan pula, penerbitan bahan
bacaan yang menggunakan bahasa rojak atau pasar perlu dihentikan kerana
dikhuatiri mempengaruhi remaja. (Utusan Malaysia, 15 Februari 2004)
Pencemaran Bahasa Melayu ini juga dapat diatasi dengan
menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Malaysia. Hal ini adalah
seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk
Seri Dr. Rais Yatim bahawa Kabinet telah bersetuju untuk memberi kuasa kepada
DBP untuk mendenda pencemar bahasa di negara ini. Denda RM1,000 itu akan
dilaksanakan apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996
dipinda dan diluluskan Parlimen . Namun, tumpuan hanya pada papan iklan dan
notis awam. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan
dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sharifuddin Ibrahim pula
menyatakan bahawa DBKL sentiasa memantau bagi memastikan Bahasa Melayu
dimartabatkan. Menurutnya, semua pihak di bawah bidang kuasa DBKL terikat
dengan Undang-undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang
mensyaratkan mereka meletakkan Bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan
tanda atau papan iklan, sekali pun jika ada bahasa lain bersamanya.
Tambahan lagi, pucuk pimpinan yang menerajui negara juga
berperanan untuk mengatasi pencemaran bahasa ini daripada berleluasa. Hal ini
dapat dilakukan dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di
semua pusat pengajian tinggi tidak kira awam ataupun swasta untuk semua
jurusan. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2000:247), pucuk pimpinan perlu
melancarkan “Wawasan Bahasa” terhadap pelaksanaan Bahasa Melayu sepenuhnya di
pusat pengajian tinggi sama seperti pelancaran Wawasan 2020. Hal ini akan
mengurangkan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan mahasiswa yang bakal
menceburi alam pekerjaan kerana mereka terdedah dengan penggunaan Bahasa Melayu
sepenuhnya dalam kehidupan mereka. Hal ini dapat disokong dengan pernyataan
Nothofer Bernad, profesor Bahasa Melayu dari Jerman dalam Abdul Hamid Mahmood
(2000:246) bahawa:
“Bahasa Melayu memang sudah mampu berperanan sebagai bahasa
akademik, jika pensyarah mempunyai sikap dan tanggungjawab untuk memberikan
kuliah dalam Bahasa Melayu.”
Hal ini juga dapat disokong oleh pandangan Abdullah Munsyi
mengenai isu pendidikan yang menyatakan bahawa, sesebuah bangsa akan maju
sekiranya ilmu yang disampaikannya dalam bahasa mereka sendiri.
( sumber : http://zhan09.blogspot.my/2010/08/pencemaran-bahasa.html )
( sumber : http://zhan09.blogspot.my/2010/08/pencemaran-bahasa.html )