MAKSUD

MAKSUD BAHASA SLANGA



Bahasa Slanga.
Slanga.
Menurut Fischer (1996) slanga muncul pada abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain ”  iaitu ketidaktentuan sebenarnya. Secara etimologi,  kata  slanga berasal  daripada perkataan “sling” yang dihubungkaitkan dengan “beggar language dan rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan.
Bahasa Slanga amat meluas digunakan dalam kalangan para remaja masa kini. Penggunaan bahasa slanga telah menjadi ‘biasa’ dan tanpa segan-silu dipertuturkan baik dari kaki lima kedai usang sehinggalah ke galeri indah, bangunan parlimen. Manusia adalah makhluk sosial yang tidak dapat hidup sendirian melainkan selalu berinteraksi menerusi bahasa yang mereka tahu, faham, dan serasi sekaligus membentuk identiti kelompok yang memungkinkan terbinanya pelbagai bahasa, berbilang budaya yang unik dan tersendiri.
Definisi Slanga.
Kamus Bahasa Melayu Nusantara (Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei:2003) mengatakan bahawa slanga adalah ragam bahasa tidak rasmi dan tidak baku yang sifatnya tidak tetap atau mengikut musim. Harimurti Kridalaksana (1982:156), bahasa slanga adalah bahasa yang tidak rasmi dan lazim digunakan oleh kelompok sosial kalangan remaja tertentu sebagai ‘komunikasi dalaman’ untuk mengelakkan orang dari luar kelompok memahami kosa kata dan istilah yang mereka ungkapkan.
Brooke (1973:12) telah mengungkapkan bahawa variasi bahasa yang terdapat dalam bahasa diberi beberapa nama oleh ahli bahasa berdasarkan faktor-faktor yang tertentu. Umpamanya, variasi atau ragam bahasa mengikut penggunaan sebagai register atau laras dalam ilmu sosiolinguistik. Antara variasi bahasa yang lain termasuklah variasi seperti dialek, diglosia, slanga dan idiolek.
Grice (1975) menghuraikan, slanga  memiliki kecenderungan yang digunapakai secara paling asas dan umum untuk memenuhi fungsi sosialnya. Perkara seumpama ini terjadi dalam semua bahasa di dunia, tambahan pula kosa kata slanga ditakrif seusia atau lebih awal dengan sesebuah bahasa bagi bangsa itu sendiri (Nik Safiah Karim, 1996:43-49).
Bahasa slanga mempunyai ciri-ciri unik dalam bentuk ungkapan dan pengujaran sehingga akhirnya menjadi sangat sinonim, akrab dan berakar umbi untuk membentuk identiti kumpulan (Asmah,1993:85). Selanjutnya, Ajid Che Kob (1998) berpendapat ‘key word’ atau kata kunci dalam pengajaran bahasa slanga yang merupakan ciri-ciri uniknya yang bertujuan menguat, memberi lebih makna sambil mengetengahkan identiti kelompok sosialnya.
Dari perspektif ahli bahasa dapat disimpulkan bahawa praktikal bahasa memberi justifikasi tepat tentang bahasa dan tingkah laku yang saling berperanan dan mempengaruhi penutur bahasa terhadap dunianya yang tergambar menerusi ungkapan dan penuturan bahasa slanga. Cara, gaya, dan emosi yang dibawa oleh bahasa slanga itu sendiri sudah memberi kefahaman meluas mengenai peranan bahasa  dalam kehidupan manusia baik kognitif, afektif dan amalan kehidupan sehariannya.

( sumber : https://asyikinrazak.wordpress.com/2012/04/01/bahasa-slanga/ )